news

Maritim Malaysia tahan 6 nelayan Vietnam

19 Sep 2021

KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan sebuah bot nelayan tempatan selepas disyaki melanggar syarat sah lesen, kira-kira 24.2 batu nautika timur dari muara Sungai Nenasi, Rompin.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud, berkata dalam rondaan Op Makmur di perairan Pahang, anggotanya mengesan sebuah bot yang sedang menjalankan aktiviti perikanan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, bot terbabit kemudian cuba melarikan diri sebaik dihampiri dalam operasi jam 12 tengah hari kelmarin itu.

"Pemeriksaan mendapati, bot nelayan tempatan ini dikendalikan enam kru, termasuk tekong dan orang kurang upaya (OKU) yang semuanya warga Vietnam berusia antara 26 dan 53 tahun," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan mengemukakan dokumen pengenalan diri yang meragukan.

"Semua kru bot itu dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading bersama peralatan menangkap ikan serta hasil laut.

"Mereka akan menjalani ujian saringan COVID-19 oleh petugas Kementerian Kesihatan di Klinik Kesihatan Rompin, sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya," katanya.


Source : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/08/848986/maritim-malaysia-tahan-6-nelayan-vietnam

Arsip Berita